16 November 2008

Olahraga Remaja ATM

TD mengaum lagi/////////////
Tentera Darat mengaum lagi! Itu adalah ungkapan yang dapat digambarkan kepada Kontinjen Olahraga Tentera Darat apabila sekali lagi muncul sebagai Johan Keseluruhan Olahraga Remaja Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2008 yang berlangsung baru-baru ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Setelah kejayaan kontinjen senior merampas kejuaraan Kejohanan Olahraga ATM daripada Kontinjen Tentera Laut Diraja Malaysia, kini tiba giliran kontinjen junior untuk melengkapkan kejayaan berganda kepada Tentera Darat.
Sesungguhnya ia merupakan satu titik kenangan yang paling manis di kalangan atlet yang bertanding kerana dengan usaha yang ditunjukkan dan semangat yang ditampilkan dapat mengembalikan maruah dan martabat Tentera Darat di dalam Kejohanan yang gemilang ini.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini telah dilaksanakan dengan jayanya di bawah kelolaan Persatuan Olahraga Tentera Darat dan dibantu oleh MK 4 Bgd Mekanis dan juga Rejimen Pertama Kor Armor Diraja. Pada kejohanan tersebut, empat kontinjen mempamerkan kehebatan masing-masing iaitu Kontinjen Tentera Darat, Tentera Laut, Kontinjen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia [ UPNM] dan Maktab Tentera Diraja [MTD].
Masing-masing mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan juga sifat setia kawan antara pasukan di sepanjang kejohanan dan ianya memberikan impak dalam mewujudkan suasana yang harmoni sepanjang kejohanan tersebut.
Di dalam kejohanan ini, Kontinjen Tentera Darat memperolehi 21 pingat emas, 20 perak dan 8 gangsa untuk menjadi Johan Keseluruhan. Di dalam kejohanan ini Pbt Wan Mohd Alzainizam Wan Ismail dari kontinjen Tentera Darat dipilih sebagai Anugerah Olahragawan Terbaik manakala Anugerah Olahragawati serta Peserta Terbaik Kejohanan telah dibolot oleh Sig Women Normaladiwi Hashim juga dari Kontinjen Tentera Darat.
Sepanjang kejohanan ini juga, banyak rekod kejohanan dan Remaja Angkatan Tentera Malaysia telah diperbaharui dan ini menunjukkan kesungguhan dan juga semangat juang yang tinggi yang telah dipamerkan oleh para atlet dalam mencapai kejayaan hasil usaha latihan yang gigih dan tekun.
Kejohanan yang paling gemilang ini disempurnakan penutupannya oleh Pengarah Kor Armor Diraja merangkap Pengerusi Persatuan Olahraga Tentera Darat, Kol Kamarol Fauzi Hj Mohd Said.