19 Oktober 2009

KOAM hantar 43 atlet ke Sukan Sea

KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) telah meletakkan harapan kepada 43 atlet bagi memenuhi sasaran tujuh pingat emas pada Sukan SEA Laos ke-25 di Vientine, Disember ini.

Selepas gagal menepati sasaran 10 emas pada Sukan SEA Korat 2007, KOAM kali ini membariskan 21 atlet lelaki dan 22 wanita bagi untuk menghadapi saingan selama empat hari di Stadium Nasional bermula 9 Disember ini. Di Korat, KOAM memungut tujuh emas.

Pada sukan dwitahunan kali ini, KOAM meletakkan sandaran terhadap atlet jarak sederhana dan jauh M. Vadivellan yang bakal beraksi dalam acara 800m, 1,500m dan 5,000m lelaki.

Selain itu, skuad olahraga juga mengharapkan pingat emas daripada atlet 110m lari berpagar Mohd. Robani Hassan dan atlet lompat jauh Jen Chan Guo.

Atlet lelaki lain dalam skuad kebangsaan ke Vientine ialah S. Mathialagan (800m), Lo Choon Sieng dan Teoh Boon Lim (20km Jalan Kaki), Lee Hup Wei (Lompat Tinggi), Mohd. Hafizuddin Sahadan (Lompat Bergalah) Chan Woo Yew (Maraton), Mohd. Jironi Riduan (1,500m), Rayzam Shah Wan Sofiah (110m Lari Berpagar), Mohd. Hasrolnizam Yaakod (Lempar Cakera), Adi Alifuddin Hussin (Lontar Peluru) serta pasukan lari berganti-ganti 4x100m dan 4x400m.

Kategori wanita pula menyaksikan KOAM mengharapkan sentuhan emas daripada atlet Nor Rohida Baidawi dan Nor Hazwanie Norizan (400m), K. Ganti Manthi (800m), Yap Jeng Tzan (Lempar Cakera), Norjannaj Hafiszah Jamaludin dan Nurul Sarah Abdul Kadir (100m) serta pasukan lari berganti-ganti 4x100m dan 4x400m.

Atlet wanita lain ialah Noraseela Mohd Khalid (400m lari berpagar, 400m), Roslinda Samsu (Lompat Bergalah), Tan Song Hwa (Baling Tukul Besi).

Yuan Yu Fang (20km Jalan Kaki), Noor Amira Mohamad Nafiah (Lompat Kijang), Siti Nurulain Abdul Rahim dan Asrenny Asik (Lempar Cakera) serta atlet merejam lembing Syuraini Sekembar turut menjadi taruhan.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata, hanya atlet yang memiliki kualiti untuk menunjukkan peningkatan dalam acara masing-masing dipilih kali ini.

"Kami tidak mahu penumpang dalam kontinjen negara kerana tidak mahu membazir wang rakyat," jelasnya. - BERNAMA

Tiada ulasan: