28 Oktober 2008

TENTERA DARAT MENJUARAI KEJOHANAN OLAHRAGA ATM KE-45

Oleh: Lt Kol Padman Bhaskaran

No Mercy! merupakan teriakan perang Kontinjen Olahraga Tentera Darat di dalam kejohanan Olahraga ATM ke-45 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2008 akhirnya membuahkan hasil.
Majlis pembukaan gilang gemilang pada 24 Jun 2008 dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Dato'Sri Abdul Aziz Hj Zainal telah membuka lembaran baru penganjuran kejohanan ini di dalam arena olahraga Angkatan Tentera Malaysia.
Keputusan rasmi yang dipamerkan sehingga lewat hari terakhir pada 26 Jun 2008 sebaik sahaja diumumkan oleh Panglima Tentera Laut Merangkap Yang Dipertua Majlis Sukan Angkatan Tentera, Laksamana Datuk Abdul Aziz Hj Jaafar pada Majlis Penutupan Kejohanan tersebut menyaksikan kemenangan di luar sasaran oleh TD yang dinobatkan sebagai Johan Perkhidmatan dengan menggondol 32 pingat emas dari 44 acara yang dipertandingkan termasuk 25 pingat perak dan 26 pingat gangsa.
Kemenangan ini membuktikan kewibawaan atlet-atlet TD selepas dua tahun ketandusan yang mana berturut-turut tumpas kepada TLDM di dalam Kejohanan yang sama sebelum ini.
Atlet-atlet TD ini juga telah menyerlah dan memperbaiki 15 rekod kejohanan serta empat rekod ATM di dalam lompat bergalah[L], 3000m lari berhalangan[W], lompat kijang[W] serta acara heptatlon[W].
Mengulas kemenangan besar TD yang hanya mensasarkan 28 pingat emas, Pengarah Kor Armor Diraja Merangkap Pengerusi Olahraga Tentera Darat, Kol Kamarol Fauzi Hj Mohd Said, melahirkan kebanggaan serta ucapan terima kasih kepada atlet-atlet TD yang telah bertungkus lumus serta bersungguh-sungguh berusaha mencapai kemenangan di dalam setiap acara yang dipertandingkan.Tambahan kepada kecemerlangan dan kejayaan TD ini telah diserikan lagi dengan penganugerahan Olahragawati Kejohanan dimenangi oleh Pbt Siti Fatimah yang mengondol pingat emas dalam acara 100m,200m,4x100m serta 4x400m sementara Pbt Norina Damneon yang dinobatkan sebagai peserta Terbaik Kejohanan setelah beraksi cemerlang dan berjaya memperbaharui rekod ATM dan kejohanan di dalam acara lompat kijang dan heptatlon.
Kol Kamarol turut menyatakan bahawa strategi jangka pendek yang digubal oleh Persatuan Olahraga Tentera Darat[PCOTD] telah membawa kejayaan yang amat membanggakan. Beliau memberitahu PCOTD akan meneruskan pendekatan latihan yang intensif bagi menghadapi kejohanan tahun hadapan. Kol Kamarol turut mengatakan bahawa persatuan kini sedang dalam perancangan dan landasan mengimplimentasikan strategi pertengahan dan strategi jangka panjang bagi memastikan Tentera Darat terus unggul dalam sukan olahraga.
Semua warga TD amat berbangga dengan prestasi serta kejayaan kontinjen olahraga TD. Syabas kepada Kontinjen Olahraga Tentera Darat dan semoga terus mengecapi kejayaan pada tahin 2009 dan seterusnya.

Tiada ulasan: